Thursday 13 December 2012

Antara Dilihat Dengan Melihat



Sistem nilai diri menentukan sama ada mata kita mata lebah atau mata lalat


Seorang nyonya tua melintas jalan memikul bakul yang penuh dengan ubi kayu. Badannya bongkok terserlah beban beratnya ubi kayu yang dipikul. Berseorangan tanpa berteman. Mengusap peluh yang mengalir laju dari dahi yang berkedut.

“Kesian aku tengok nyonya tu. Dah tua pun masih buat kerja berat lagi. Mana pergi anak dia. Tak patut betul anak dia biar ibunya buat kerja teruk macam ni,” ujar Ehsan kepada Taufiq.

“Itu pandangan mata kau. Tapi pada mata aku. Ada suatu yang kita perlu belajar daripada hidup nyonya tu. Walaupun dia dah tua, tetapi sikap dia yang tidak meminta-minta kepada orang lain.

Mungkin itu yang diajar oleh masyarakat Cina.

Bekerja hingga ke hujung usia.

Lagipun dalam agama kita sendiri, kerja dan urusan dunia tidak terpisah dari perihal akhirat. Bukankah jika kita bekerja sehingga akhir usia dalam keadaan mencari rezeki yang halal dan hasilnya disalurkan kepada yang perlu itu satu ibadah.

Cuma orang kita yang selalu sangat membahagikan usia mereka kepada tempoh kerja dan tempoh ibadah. Lalu akhirnya wujud pemikiran ‘beribadah selepas pencen’,” hurai Taufiq dari sudut pandang agama yang amat positif.

“Tak terfikir pulak aku. Yang aku nampak hanya negatif saja. Yang buruk saja mata aku menangkap,” Ehsan tunduk malu dengan gaya pandang negatif ia melihat sesuatu peristiwa.

“Tidak mengapa…cara manusia melihat itu berbeza. Aku melihat dari sudut yang lain. Kau lihat dari sudut yang lain. Persitiwa sama, kesimpulan berbeza. Namun kita kena bijak melihat dengan cara yang positif.

“Sebenarnya ada satu kisah motivasi yang terkenal di Amerika Syarikat. Ianya kisah duka seorang isteri juga merupakan ibu kepada dua orang anak kembar. Dia berkahwin dengan lelaki pilihannya. Malang sekali, setelah berkahwin dia baru mengetahui bahawa suaminya merupakan seorang penagih dadah tegar.

Setiap hari dia akan menanti kepulangan suaminya. Sudah pasti hidangan pukulan, tendangan dan tampar dari si suami menjadi rutin harian. Suaminya akan pulang dalam keadaan menggigil dan membelasah si isteri yang enggan memberikan wang kepadanya. Ketagihannya yang melampau membuatkan isteri terpaksa bekerja keras mencari wang untuk menyara kedua anak kembar mereka.

Yang lebih menyedihkan, setiap kali si isteri dibelasah suaminya, perbuatan itu diperhatikan oleh kedua-dua anak mereka. Fenomena ini memberi kesan yang mendalam kepada kedua-dua anak tersebut.

Masa berlalu pantas, rumah tangga ini punah sama sekali. Si suami kemudian meninggal dunia dengan mulut berbuih di bawah jambatan. Si isteri pula tidak lama kemudian meninggal dunia akibat kesan tekanan yang sangat dahsyat. Tinggallah kedua-dua anak kembar ini meneruskan kehidupan sendirian.

Bertahun-tahun kemudian orang menemui seorang daripada kembar tersebut sedang hancur ketagihan dadah terbongkang di bawah jambatan. Di mana saudara kembarnya? Mereka menemuinya di wisma miliknya sendiri di bawah nama syarikat guaman paling terkemuka. Dia menjadi seorang peguam hebat. Ketika ditanyakan kepada mereka berdua tentang nasib hidup yang berbeza, jawapan kedua-duanya adalah sama.

“Saya tengok apa yang ayah lakukan.”

Seorang melihat kemusnahan itu dan menirunya.

Seorang lagi melihat benda yang sama dan bertekad untuk segera membesar bagi membebaskan ibu daripada seluruh kesakitan itu!!

Seorang lagi melihat kehidupan lampau mereka dan motivasinya musnah. Sementara yang seorang lagi melihat kehidupan lampau sebagai pendorong motivasi.

Dua anak membesar daripada susuan ibu yang sama, tinggal di rumah yang sama, bermain di lorong yang sama, makan hidangan yang sama serta menyaksikan semua benda yang sama, tetapi membesar sebagai manusia yang berbeza. Si penagih melihat perangai si ayah untuk dijadikan ikutan. Si peguam melihat perjuangan ibunya membuatkan ia gigih menegakkan keadilan.

Bukan apa yang dilihat, tetapi bagaimana seseorang melihatnya. Itu lebih penting!” Cerita taufiq dengan panjang lebar menyedarkan Ehsan dari lamunan.

Akhirnya mereka membuat kesimpulan, pandanglah peristiwa seperti mata lebah. Segala bau busuk, najis dan kotoran ditolak ketepi. Namun lebah terus mencari bunga lalu mencipta madu. Bukannya seperti pandangan mata sang lalat. Haruman dan bunga ditinggalkan. Mencari najis dan kotoran membiakkan penyakit dan melumpuhkan alam.

Hukum Tepuk Tangan




HARAM KETIKA SOLAT, HARUS BAGI MERIAHKAN MAJLIS





            KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program.
            Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya.
            Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah.
            Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.
            Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.
            Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)
            Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.
            Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.
            Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.
            Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal diatas, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.
            Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.
            Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.
            Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
            Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.
            Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.
            Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.
            Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.
            Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.
            Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.
            Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.
            Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.
            Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.
            Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.

Saturday 8 December 2012

Hukum Pegang Babi Vs Pegang Tangan Bukan Muhrim



Salam kepada semua, Persoalan yang dikemukakan oleh seorang pengunjung mengenai hukum memegang anjin dan babi adakah haram atau harus? Jawapan dari persoalan tersebut ialah harus dan tidak menjadi masalah menyentuh anjing dan babi. Anjing dan babi adalah binatang yang dikategorikan sebagai najis mukhallazoh (berat), untung menghilangkan najis ini mestilah dibasuh dengan 1 kali dengan air tanah dan 6 kali dengan air mutlak.

Hujah dari jawapan tersebut ialah tiada dalil Al-Quran dan hadis yang mengharamkan menyentuh binatang tersebut. Hanya ada dalil yang mengharamkan kita memakan binatang anjing, babi dan keturunannya. Dalil yang mengharamkan memakan anjing dan babi ialah :

Firman Allah yang bermaksud :


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak dapati Dalam apa Yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu Yang diharamkan bagi orang Yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah Yang mengalir, atau daging babi - kerana Sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu Yang dilakukan secara fasik, Iaitu binatang Yang disembelih atas nama Yang lain dari Allah". kemudian sesiapa Yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka Sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-An’am : 145)

Firman Allah yang bermaksud :


“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Baqarah : 173)

Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud :

“Cara menyucikan bejana milik salah seorang kamu apabila dijilat anjing hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya mestilah mengunakan tanah”. (Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Al-Baihaqi).

Dari dalil di atas, menunjukkan bahawa diharamkan memakan anjin, babi dan keturunannya dan tiada dalil yang menyatakan haram menyentuh anjing dan babi. Harus bagi sesiapa yang menyentuh anjing dan babi. Apabila bersentuhan dengan binatang tersebut, perlulah menyamaknya dengan menggunakan 1 bejana (cebok) air tanah yang suci disapukan dan digosotkan ditempat yang terkena atau tersentuh binatang tersebut. Selepas membasuh dengan air tanah, hendaklah dibasuh dengan air mutlak (air yang suci lagi menyucikan) sebanyak 6 kali berturut-turut sehingga hilang bau, warna dan rasanya. Jika didapati masih ada bau, warna dan rasanya, maka ditambahkan lagi basuhan air mutlak tersebut sehingga hilang ketiga-tiga sifat najis tersebut.

Tidak usahlah menyentuh binatang tersebut tanpa tujuan dan hajat, kerana tiada faedah bagi orang yang melakukan pekerjaan sia-sia. Setiap umat Islam berlulah bersikap ihsan terhadap binatang, kerana Allah swt akan memuliakan orang yang ihasan kepada binatang. Ada kisah seorang sahabat Rasulullah yang singgah disebuah perigi untuk mengambil air minum, sahabat tersebut turun ke dalam perigi tersebut untuk minum, setelah sahabat tersebut minum dan hilang hausnya, maka beliau naik kembali dari perigi tersebut, beliau terlihat seekor anjing melihatnya dalam keadaan lidahnya terjelir keluar dari mulutnya, sahabat tersebut turun mengambil air dengan menggunakan kasutnya untuk diberikan minum kepada anjing yang kehausan sehingga anjing itu kenyang.





Persoalan Yang Terjawab



Sewaktu Nabi Muhammad saw wafat, telah sempurna Islam itu. Maka, semua persoalan dan keraguan tentang Islam, pasti akan ada jawapannya. Hanya ilmu di dada sebagai penentu, jawapan apa yang perlu diberi bagi membidas kembali persoalan dan keraguan yang sengaja ditimbulkan oleh orang bukan Islam pada orang Islam. Ada di antara mereka yang bertanya bukan kerana hendak tahu, tapi kerana hendak membuatkan orang Islam yang ilmu hanya ala kadar berasa was-was dengan Islam dan akhirnya orang Islam akan berasa was-was dengan agama yang dianutinya. Nauzubillah.


Soalan-soalan yang dinyatakan di bawah, sebenarnya memang benar-benar pernah ditanya oleh orang bukan Islam secara spontan pada orang Islam. Jadi jawapan yang disampaikan di bawah ini diharap dapat membantu membidas persoalan tersebut.


1.      Nama Nabi Isa as disebut 25 kali dalam Al-Quran, tetapi berapa kali nama Nabi Muhammad saw disebut dalam Al-Quran?

Nama Nabi Muhammad saw hanya disebut 5 kali sahaja di dalam Al-Quran. Manakala nama Nabi Isa as disebut 25 kali. Mengapa? Kerana Al-Quran diwahyukan pada Nabi Muhammad saw, sebab itu nama Nabi Muhammad saw jarang disebut. Al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk memaparkan kisah Nabi Muhammad saw tapi adalah sebagai panduan perjalanan hidup umat Islam.

2.      Nama Nabi Isa lebih banya disebut daripada nama Nabi Muhammad saw dalam Al-Quran. Tentu sahaja Nabi Isa lebih hebatkan?

Dalam Bible, nama syaitan lebih banyak daripada nama Nabi Isa. Jadi, adakah syaitan lebih hebat daripada Nabi Isa? Sebenarnya Allah tidak bezakan tentang kehebatan Nabi dan RasulNya. Walaubagaimanapun, Allah lebih Maha Mengetahui.

3.      Dalam Islam percaya yang Nabi Isa as diangkat ke langit, sedangkan Nabi Muhammad saw wafat. Jadi, bila Nabi Isa as dibawa ke langit, tentu sahaja Nabi Isa itu Tuhan kan?

Dalam banyak-banyak kaum, hanya kaum Nasrani sahaja yang telah salah anggap tentang nabi yang diutuskan kepadanya sebagai Tuhan (Nabi Isa). Sedangkan, dalam Bible juga ada menyatakan bahawa Jesus (Nabi Isa) berkata “Siapa yang taat pada Allah akan masuk Syurga, siapa yang menganggap Jesus sebagai tuhan akan masuk neraka”. (Kitab Injil yang menjadi rujukan pengganut Kristian sekarang ini sebenarnya telah dimanipulasi isi kandungannya iaitu diubahsuai mengikut nafsu mereka).

4.      Dalam Islam, Nabi Muhammad saw adalah Nabi terakhir. Tapi, di akhir zaman nanti Nabi Isa as akan turun. Kenapa tidak dikatakan Nabi Isa as yang terakhir?

Nabi Muhammad saw adalah nabi terakhir berdasarkan tahun kelahirannya. Contohnya, jika anak bongsu meninggal dunia, sedangkan anak sulung masih hidup, anak sulung tetap kekal pangkatnya sebagai yang sulung.

5.      Nabi Isa as disembah sebagai anak Tuhan kerana dianggap mulia sebab lahir tanpa bapa.

Antara ibu dan anak, mana yang lagi mulia? Tentu ibu kan? Jadi, kenapa orang Kristian tidak menyembah Mariam saja? Bukankah Mariam itu ibu, tentu lagi mulia. Nabi Adam merupakan manusia pertama juga lahir tanpa bapa, malah tanpa ibu juga. Jadi, kenapa tidak disembah Adam saja?
Firman Allah swt : “Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia. -Surah Al-Imran, ayat-59.

6.      Jika membaca tafsir, Allah berfirman sekejap guna ‘Aku’, sekejap guna ‘Kami’. Kenapa? Bukankah maksud ‘Kami’ itu mewakili ‘Tuhan + Mariam + Anak Tuhan (Isa)’?

Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. ‘Aku’ kata jamaknya ‘Kami’ yang menggambarkan tentang ‘Allah dan keagunganNya’ . Bukankah Queen Elizebeth ketika bertitah, beliau guna ‘We’ bukan ‘I’?

7.      Orang Sikh Punjabi bertanya, kenapa Islam perlu potong rambut? Bukankah rambut itu anugerah tuhan yang perlu disimpan?

Kita jawab dengan soalan ini, kuku juga anugerah tuhan, kenapa orang Sikh Punjabi potong kuku?

8.      Sami Buddha vegetarian bertanya, kenapa Islam disuruh membunuh binatang untuk dimakan? Bukankah itu zalim kerana membunuh hidupan bernyawa?

Sains telah membuktikan bahawa sayur dan pokok turut mempunyai nyawa. Malah, apabila kita basuh tangan pun, ada banyak nyawa kuman yang kita bunuh. Itu tidak kejam? Apabila kita membunuh (sembelih) seekor lembu, sebenarnya kita telah menyelamatkan banyak nyawa manusia daripada mati kelaparan.

9.      Sami Buddha menjawab “Bunuh sayur dosa kecil sebab sayur kurang deria. Bunuh binatang dosa besar”

Habis tu, adakah kita cuma berdosa kecil jika membunuh orang yang pekak, buta, dan bisu hanya kerana dia tidak ada deria?

10.  Sami Buddha menjawab lagi “Jika kita bunuh sayur, sayur akan tumbuh balik”

Jadi, makanlah ekor cicak kerana ekor cicak akan tumbuh semula selepas putus.

11.  Sami Buddha berkata lagi, “Makan binatang akan dapat banyak penyakit”

Sebenarnya, penyakit datang kerana kita banyak makan. Bukan kerana makan binatang. Allah suruh makan secara sederhana. Nabi juga suruh berhenti makan sebelum kenyang. Lagipun, Allah dah beri gigi taring dan gigi kacip untuk manusia makan binatang dan sayuran. Bukankah tembakau dan ganja itu juga berasal dari tumbuhan? Lagi besar penyakitnya. Lembu yang ragut rumput hari-hari pun boleh jadi lembu gila. Sebenarnya, tak kesah pun kalau kita tak nak makan daging, tapi jangan lah cakap haram apa yang telah Allah halalkan.

12.  Kan babi itu ciptaan Allah, kenapa Islam tak makan babi?

Sebab bukan semua ciptaan Allah adalah untuk dimakan. Jika begitu, batu dan kayu juga ciptaan Allah. Manusia juga ciptaan Allah. Nak jadi kanibal?

13.  Islam cakap Hindu sembah berhala tetapi Islam hari-hari sembah Kaabah.

Islam bukan sembah Kaabah. Tapi Kaabah itu adalah Kiblat untuk satukan umat. Dalam Islam dah sebut, siapa sembah Kaabah akan masuk neraka kerana Islam sembah Allah, kaabah cuma kiblat. Ada bezanya. Bukti, orang yg sembah berhala tidak akan pijak berhala, tapi orang Islam pijak Kaabah untuk melaungkan azan. Orang Hindu tak akan pijak gambar berhala tapi orang Islam hari-hari pijak gambar Kaabah di sejadah. Jika ada sepanduk gambar Kaabah direntangkan di KLCC sekalipun, orang Islam tetap solat menghadap Kaabah di Mekah kerana itu kiblat kita untuk sembah Allah. Bukan sembah Kaabah!

14.  Kenapa perlu ikut Nabi Muhammad saw? Nabi dan Rasul sebelum baginda itu sesatkah?

Nabi sebelum Nabi Muhammad saw diutus untuk kaum dan zaman tertentu sahaja. Sedangkan Nabi Muhammad saw diutus untuk semua kaum dan sepanjang zaman.

15.  Apa bukti Allah wujud? Mana Allah? Tak nampak pun.

(Tampar beliau!) Kemudian cakap, sakit itu wujud dan boleh dirasa, tapi adakah kita nampak sakit itu? Begitu juga dengan kewujudan Allah. Allah itu wujud dan kita boleh rasa nikmat pemberian-Nya, tapi kita tak boleh nampak Allah.