HARAM KETIKA SOLAT, HARUS BAGI
MERIAHKAN MAJLIS
KEBIASAANNYA
bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan.
Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh
penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program.
Apabila
diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah
orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan
pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya.
Bertepuk tangan di majlis keramaian
adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun
mengaitkannya dengan ibadah.
Malah
ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang
tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu
ditetapkan agama.
Walaupun
ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli
dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat.
Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram
selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab
disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)
Pentafsir
mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah
(tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang
kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.
Tepukan
dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam
sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat
dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.
Al
Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy
jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan
bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid,
As Suddi dan Ibnu Umar.
Merujuk
sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal diatas, jelas pengharaman
tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang
kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan
bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.
Bagaimanapun,
mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil
yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang
melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.
Sudah
jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah
dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka
penyabitan hukumnya juga berbeza.
Begitu
juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki
berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki
kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah).
Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya
(memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk
wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Perbuatan
itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti
dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika
memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh
mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.
Hadis
ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang
imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai
isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar
solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.
Pengharaman
hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi
didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama
yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana
tiada dalil mengharamkan.
Menurut
kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu
perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia
boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.
Pengarang
kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh,
berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor
ia dilakukan.
Hukum
bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk
tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya
mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.
Perbuatan
jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak
penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat
kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk,
makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.
Menepuk
tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis
terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh
menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak,
pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.
Bertepuk
tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum
syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah.
Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun
memuji orang yang tidak sepatutnya.
Tegakkan
hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan
kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa
menilai dari mana asal usulnya.
No comments:
Post a Comment